Friday, March 30, 2012

MESYUARAT PIBG

Saya baru pulang dari Mesyuarat PIBG Sekolah Kebangsaan Peremba kali Ke-12.  Mengikut surat yang diterima  mesyuarat dimulakan pada jam 8-30 pagi bagaimanapun lewat dimulakan..Mungkin menunggu ketibaan jemputan terhormat untuk merasmikan mesyuarat.

Pada mulanya mesyuarat tersebut ditetapkan pada 29 hb. Mac, 2012 bagaimanapun atas sebab sebab yang hanya diketahui oleh AJK PIBG ianya ditangguhkan  kehari ini 31 hb. Mac. Hasilnya kehadiran waris adalah amat mendukacitakan. Banyak kerusi yang kosong terlebih lagi di barisan waris lelaki. Kesimpulannya bukan sahaja di IPT dan guru guru di sekolah malahan di mesyuarat PIBG juga kaum Adam ini kurang.   Ramai wanita ibu tunggal ke?

Setelah mendengar ucapan perasmian yang bernas dan berisi  dan ucapan singkat  Timbalan Yang DiPertua majlis berehat dengan sedikit jamuan mihun goreng dalam bekas polisterin, karipap dan air mineral. Selesai jamuan hampir separuh dari waris terus pulang..!
Sudahnya tinggal lah beberapa orang waris sahaja.  Penglibatan waris yang mendukacitakan ..sungguh..! Sungguhlah dikesali, di mana silapnya. 

Saya ada terdengar bagaimana seorang ibu yang kebetulan berniaga di pasar besar gembira bercerita yang dia telah mendapat hadiah dapur gas. Sekolah tersebut mengadakan cabutan bertuah dalam majlis mesyuarat PIBG sekolah mereka. Saya difahamkan program cabutan bertuah ini telah diadakan sejak beberapa tahun dimesyuarat PIBG sekolah anaknya.  Ada waris yang mendapat hadiah basikal..banyak maksud saya PIBG sekolah mereka ada dana yan gmencukupi untuk menaja acara cabutan bertuah..Hasilnya kehadiran waris amat menggalakkan...

AJK Sekolah Kebangsaan Peremba! Ayuh fikirkan jalan untuk menarik penglibatan waris untuk kemajuan pelajar dan sekolah..
Untuk waris juga ayuh! Mari sama sama sumbangkan masa, idea, wang ringgit dan tenaga untuk anak bangsa kita..Jangan berkira dengan masa. Setahun sekali kita berpeluang menyuarakan pendapat, keraguan dan apa apa juga persoalan berkenaan sekolah tempat anak anak kita menuntut ilmu.  Semua waris inginkan kejayaan anak anaknya.. Jadi kenapa berkira untuk hadir ke mesyuarat PIBG, kenapa kita tidak kisah..?
Biar Aiman saja yang tidak kisah. Waris kena kisah.

Wassalam.






BANTUAN

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat


Sekolah dibuka semula pada bulan Mac setelah seminggu bercuti.  Alhamdulillah saya tidak perlu kelam kabut diwaktu pagi kerana kerja rumah dibantu oleh Sabariah. Saya punya masa untuk melakukan ibadat sunat, berzikir -pendek kata masa untuk diri sendiri . Maha suci Allah yang Maha Mendengar, saya hanya berdoa dan mengadu kepada Allah. 

Seorang guru di Sekolah Srida  bersetuju membantu menumpangkan Ahmad Naufal Arief semasa pulang dari Sekolah.  Anak saya dapat pulang  sebaik sahaja habis sessi sekolanya jam 4-00 petang.  Saya tidak lagi berasa bimbang dan lebih fokus kepada kerja.  Apa tidaknya setiap hari sekolah saya saya keluar awal untuk mengambil Ahmad Naufal. Lambat keluar pejabat, saya risaukan anak yang menunggu, cepat keluar saya terbeban rasa bersalah ...masalah anak pergi balik sekolah adalah isu berpanjangan dan harus mendapatkan solusinya.. Alhamdulillah saya telah diberi bantuan oleh Allah.


Gambar anak anak saya   berhampiran jambaatan ke Pulau  Bunting , Yan , Kedah,




Allah hantarkan  seorang insan yang bersedia untuk menumpangkan Ahmad Naufal sehingga ke rumah.. Alhamdulillah..Tabarakallah








Thursday, March 8, 2012

BERCUTI

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat




Kali ini saya ingin berkongsi pengalaman bercuti cara jimat kami sekeluarga. Perjalanan pada pagi Jumaat. Abah kepada anak anak mencadangkan kami sekeluarga melawat keluarga Pak Su di Sik, Kedah. Saya telah menelefon Pak Su ( satu satunya saudara mak saya yang masih ada) dan Mak Su memaklumkan kunjungan kami dan Pak Su kedengaran gembira menanti kunjungan kami.


Saya siap bawa ikan segar dan sayuran untuk masak makan tengahhari di rumah Pak Su. Bekalannya diperolehi dari pasar besar Alor Setar yang berhampiran rumah saya.




Setelah selesai makan dan solat  kami ,mencadangkan untuk melawat kebun anggur yang terletak di Tasik Beris. Kewujudan kebun ini hanya saya ketahui dari kunjungan ke blog blog. Sepupu saya Mashitah dan suaminya dengan senang hati menawarkan diri pergi bersama sebagai penunjuk jalan.  Hasilnya dapatlah kami bergambar seperti yang dapat saya tunukkan di sini.


Walaupun cuaca agak panas, namun apabila berada di bawah pokok pokok anggur yang menjalar terasa sejuk dan menyegarkan. Anak anak dan saya juga gembira berada di bawah juntaian anggur .
        Dari kiri  Pak Su, Mashitah, Mak Su, Saya dan Suami    
     bergambar kenangan


Nampak abah makin tembam  mukanya, nampak macam sihatkan?
Rupanya sudah bertahun juga kebun anggur yang dinamakan sebagai 'Beris Lake Vineyard' ini diusahakan. Memang saya agak ketinggalan."Biar lambat asal sampai".


                                 Di sebelah saya Ahmad Iqbal, di tangannya plastik isi anggur.


Cuaca panas, minuman sejuk yang ada dijual oleh pengusaha kebun menjadi penghilang dahaga.  Ada  kedai  juga yang menjual anggur segar merah dan hijau, kalau tidak silap saya RM15-00 sepaket. Ada juga kek , minuman berperisa anggur, sabun dan mandian  yang semuanya berasaskan anggur. Subhanallah..cantiknya


                              Si bongsu saya Ahmad Naufal Arief


 Bendera warna warni direntangkan enandakan kawasan yang boleh dimasuki. Bukan semua lorong dibuka untuk laluan. Semasa kunjungan kami lorong tanaman anggur hijau ditutup dan saya cuma meninjau dari sebelah tali bendera ayng direntangkan. Hanya satu 'kemah' atau bangsal ayng dibuka pintu untuk lawatan. Pujian saya untuk pengusahanya. Kebun ini menjadi tarikan pelancong. Kami berkesempatan bertemu pelancong dari Singapura!
Saya yang dekat ini baru pertama sekali sampai..huhu


Terima kasih untuk Pak Su dan Mak Su yang sporting melayan anak cucu berkunjung. Itu yang membuatkan kami anak beranak ingin berkunjung lagi ke rumah mereka.






Saya mengambil kesempatan berfoto (hanya pakai kamera telefon bimbit samsung saya) . Dipendekkan cerita saya berpuashati dan gembira. Kata Naim berbaloi. Bayaran masuk dikenakan RM 3-00 untuk seorang . Kanak kanak 7 tahun hingga 12 tahun separuh harga rasanya ..lupalah . Kunjunganni sebenarnya dimusim durian tahun lepas..terlambatlah. Gambarnya Naim tak dapat didownloadkan. Mamanya tak pandai nak tegakkan foto yang terbalik. Malunya..
Ini kira cubaan  pertama letakkan gambar sendiri. hasil dari bantuan Iqbal.
Saya emak yang baru belajar hehe





Wednesday, March 7, 2012

KAYA?



Walaupun berkahwin diusia yang agak lewat, saya diketika mendapat anak pertama  tidak juga punya kelebihan yang melebihi ibu muda. Malahan mungkin lebih kurang persediaan dari ibu muda. 

Bagaimanapun perasaan dan naluri ibu itu datang sendiri secara semulajadi saya percaya dengan izin Allah.  Dikenangkan kembali ya..Ia agak sukar di permulaannya bagaimanapun bisa ditangani dan dipelajari dengan banyak cara dari pelbagai sumber.

Teman teman pastinya.. di sepanjang usia remaja sehingga menginjak dewasa saya lebih banyak bergaul dengan teman seusia berbanding keluarga sendiri. Mungkin juga keadaan semasa , belum ada telefon bimbit, kemudahan internet sebagainya. Saya juga tidak punya kenderaan sendiri. Hasilnya komunikasi dengan keluarga yang tinggal di jarak jauh agak terbatas. 

Perasaan kasihsayang itu sesungguhnya sangat indah, diberikan Allah..jangan disia siakan. Didik dan asuh diri berkasihsayang hanya kerana Allah. Berkahwin, mengandungkan anak dan membesarkan mereka atas dasar menjaga amanah Allah.

Apabila kita berserah kepada Allah, kekuatan datang sendiri menempuh segala ujian.

Saya sendiri jika mengenangkan beban dan tanggungjawab yang dipikul , bekerja untuk mencukupkan belanja untuk sekeluarga, menyelesaikan pinjaman rumah dan kereta, pendidikan anak anak serta segalanya tanpa bantuan memang amat berat.

Diimbas dan dikaji secara logiknya tidak termampu saya melakukannya. Allah juga yang memberikan kekuatan dan keyakinan.
Sesungguhnya Allah tidak akan menguji kita dengan perkara yang tidak mampu kita tanggung. 

Yakinlah kepada Allah Yang Satu, hanya Allah yang Mendengar tanpa mengharapkan balasan dari hambanya. kini telah Tiga tahun berlalu sejak abah kepada anak anak ditimpa sakit kronik.
Kami sekeluarga telah berjaya mengharungi ujian ini bersama..
Hikmah di sebaliknya abah kepada anak anak lebih banyak masa bersama saya dan anak anak. Semasa sihatnya abah amat suka memancing di laut. Fotonya pernah disiarkan dalam majalah 'Pancing'. Foto suami dengan ikan tenggiri yang memakan kailnya masih lagi tergantung di dinding. Tinggal kenangan.. 


Seperkara lagi saya dapati suami saya sejak matanya rabun lebih serius menghafal al quran. Alhamdulillah hatinya terang. 

Nasihat teman saya, segala pekerjaan , perbelanjaan yang dikeluarkan adalah sedekah. Untungnya saya dikenalkan dengan sahabat yang alim (berilmu).
Saya tidak dapat menghadiri kelas agama kerana menemani suami yang uzur dan mengasuh anak anak juga adalah ibadat.


Saya juga lebih sabar dan redha juga berlapang dada. Agaknya jika diibaratkan seperti sebuah telaga jika dicampakkan segenggam kopi ke dalamnya yang tidak terjejas rasa dan warna airnya..Ewah memuji diri semaunya..Benar juga kan jika difikir fikir..

Kekuatan dan kesabaran itu pastinya dari Allah juga. Saya punya anak anak yang sihat dan baik. Saya punya sahabat yang prihatin dan mendidik, mendokong saya dan mendengar bila saya bercerita.
Saya punya kenangan yang manis bersama arwah ibu dan ayah. Kepahitan itu kalaupun ada terlalu sedikit dan dihilangkan oleh kenangan manis.

Sesungguhnya saya juga kaya..Allah. Paling tidak dengan rasa kasih sayang kepada keluarga saya. tapi saya masih mahu meminta Ya Allah kayakan aku dengan iman dan taqwa.
Subhanallah..



Tuesday, March 6, 2012

PERPISAHAN

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Semalam saya mendapat perkabaran yang menyedihkan.  Ibu saudara saya yang dikasihi Mak Lang Embun telah kembali ke rahmatullah- Al Fatihah semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman.




Saya baru bercadang untuk menziarah Mak Lang pada cuti hujung minggu hari Jumaat. Janji Allah tidak lewat walau sesaat. Kita hanya mampu merancang.
Saranan sahabat saya, kita sepatutnya memcatatkan di kalendar untuk kunjungan menziarahi saudara dan sahabat untuk mengeratkan silaturrahim.

Hadis:
Sesiapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah maka malaikat akan mendoakannya di sepanjang perjalanan

Seperkara yang amat baik dipertimbangkan;
Mana lebih baik dalam ertikata yang menyenangkan dan menggembirakan ,
                          menziarah orang ketika sihat;
                          menziarah ketika sakit; dan
                          menziarah  jenazah.

Pagi ini pula saya menziarahi ayah sahabat yang juga kembali ke Rahmatullah ketika solat subuh. Subhanallah , arwah telah mengakhiri kehidupannya dengan pengakhiran yang baik. Doanya dimakbulkan.





Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat



Setelah hampir setengah tahun menguruskan rutin harian di rumah tanpa pembantu @ bantuan saya mula keletihan yang teramat sangat.  Anak sulung saya juga mula sibuk dengan kelas tambahan dan kelas tusyen matematik dan sains pada setiap hari Jumaat.  Anak ketiga Ahmad Aidil juga sibuk dengan persiapan UPSR . Setiap hari pulangnya jam 2-30 petang , manakala kelas tusyen pada setiap hari Jumaat.

Pulang dari sekolah jam 5-00 petang, saya boleh nampak keletihan di wajah Ahmad Naim. Saya akui anak sulung saya yang baik hati cuba membantu kerja rumah dengan mencuci pinggan dan menyidai kain. Dia juga sentiasa menemankan Ahmad Aidil melakukan kerja sekolah. Ahmad Naim cuba menyenangkan hati saya dengan kisah Siti Fatimah puteri kepada Raulullah saw.

"Terima kasih abang Naim!" Mama amat menghargainya. Namun mama tidak mampu lagi...
lemahnya mama dibandingkan dengan Siti Fatimah..mama cuba, mama mahu tapi mama tidak mampu..sob sob

Saya sendiri amat letih dan agak stress dengan kerja pejabat dan urusan menghantar dan menjemput anak anak dari sekolah, berbelanja dan atas urusan apa juga yang pelbagai dari 'A' hingga 'Z'. Ya, kalau letih dan tidak sempat memasak, kami tidak ada halangan untuk makan makanan yang dibungkus dari kedai.  Pokoknya sama ada untuk makan di rumah masak sendiri, makan nasi bungkus, makan di luar dan apa saja saya juga yang harus keluar.

Wah penat sungguh... Bukan mengeluh tapi itulah kenyataannya. Pada awalnya saya bersemangat  dan gembira...Namun setelah enam bulan saya sudah kepenatan. Saya betul betul penat dan akibatnya hampir dua minggu saya demam. Tanpa rehat (mustahil bagi saya untuk rehat) kerana tidak punya pembantu. Anak harus ke sekolah dan walaupun demam saya masih berupaya bangun. Pening kepala itu setiap hari. Saya langsung tidak ada masa untuk beraktiviti apa apa selain menguruskan rumahtanga dan kerja pejabat. Bulan Febuari 2012 saya langsung demam disebabkan letih dan stress yang telah saya ketahui puncanya. Anak anak juga mendapat selsema bergantian seorang demi seorang.

Alhamdulillah abah mereka aka suami saya 'sihat'. Syukur ya Allah..

Sudahnya setelah berbincang dengan abahnya anak anak , kami nekad- perlukan pembantu.
Allah Maha Mendengar, sesungguhnya Allah itu hampir dengan kita dan lebih hampir dari urat leher kita.

Selepas dua hari saya suarakan kepada rakan kongsi saya,beliau menyampaikan kabar ada majikan yang baru 3 bulan mendapat pembantu rumah ingin menamatkan kontrak kerana ingin menjaga hati ibunya. Rezeki saya. Saya cuma perlu mengemukakan permohonan pertukaran majikan dan menjelaskan sejumlah RM 85-00 sebagai wang proses kepada Imegresen.

Tentunya juga wang berjumlah RM 3,820-00 kepada Azlina majikannya Sabariah yang kini bertukar menjadi pembantu rumah saya.  

Doa saya sentiasa kepada Allah semoga Sabariah serasi dengan keluarga saya dan dapat meringankan beban kerja saya. 

Doa saya juga agar dapat menafaatkan waktu sebaiknya melaksanakan urusan dunia untuk bekalan menuju akhirat. 

Ya Allah! aku pohon kepadaMu agar anak anak dan harta yang Engkau berikan ini dapat membantuku ke negeri akhirat. Bantulah aku dan suamiku mendidik anak anak kami menjadi anak anak yang soleh. Ya Allah! jangan aku dilalaikan dengan harta dan nikmat dunia.