Sunday, April 17, 2011

Hari ini saya ingin berkongsi satu hadis sahih yang disampaikan oleh ustaz dalam kelas Tafakuh yang saya hadiri pada hari Sabtu lepas. Saya percaya hadis ini jika dihayati dan dijadikan panduan akan membawa menafaat kepada kita sebagai hamba.

Bahawa Rasulullah Saw bersabda antara maksudnya bahawa Allah Subhanahu Wataala selalu berseru kepada hambanya:

" Wahai hambaKu, engkau tidak insaf denganKu,
  Aku ingat kepadamu, tapi kau lupa kepadaKu,
  Aku seru kau kepadaKu, Engkau pergi kepada yang lain
  daripadaKu,
  Aku hindarkan kamu daripada segala bala, sedangkan kamu masih
  asyik melakukan dosa.
  Bagaimana kamu akan menjawab kepadaKu esok apabila kamu
  dipanggil menghadapKu?"

Jadi marilah sama sama kita renungkan , muhasabah diri adakah kita hari ini telah menjalankan tanggjawab sebagai hamba yang taat. Apakah perlakuan kita, pakaian kita, bicara kita dan keputusan kita berlandaskan niat sebagai hamba Allah yang taat. Adakah kita menurut dengan patuh akan ketetapan menurut syariat. Kemana kiblat kita (bukan ketika solat) tetapi panduan hidup, siapa ikutan kita.

Apa usaha kita untuk memantapkan amalan kita seharian. Adakah ilmu agama dan amalan kita itu adalah seperti mana kelmarin, tahun tahun yang lalu. Saya percaya majlis ilmu adalah satu perkara yang perlu dihadiri bagi menambahkan ilmu dan penghayatan dalam amalan bagi mendekatkan diri dengan Allah. Permata hatiku , mama sentiasa berdoa kita sama sama beroleh ilmu yang bermenafaat di dunia dan akhirat. Ya Allah tambahkan ilmu kami, terangkan hati kami dan tambahkan pemahaman kami. Ya Allah! ikhlaskan hati kami! Amin..

Saturday, April 16, 2011

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat












Maaf  saya tak pandai meluahkan semua yang terkandung dalam hati, tak pandai menyusun kata kata. Bagaimanapun ingin berkongsi pengalaman , suka duka kehidupan dengan sesiapa yang sudi berkunjung ke blog saya. Masih banyak yang perlu di pinda dan diubah suai. Sementara ini blog ini langsung tidak menarik pandangan mata. Bagaimanapun saya percaya ada  maklumat yang boleh dimenafaatkan sebagai seorang anak, seorang ibu, isteri, professional dan seorang teman kepada sahabat sahabat yang mengambil berat dan bersedia berkongsi suka duka. Seumpama kata orang ubat yang pahit  menjadi penawar, wajah buruk berhati  baik dan apa apa lagi perumpamaan yang seumpamanya.
Saya berkahwin dalam tahun 1996 dengan seorang pemuda yang  tinggal berjiran dengan saya.   Kami menyewa di  taman perumahan yang sama. Rumahnya selang 3 pintu sahaja.  Di pendekkan cerita kami berkahwin dengan restu kedua ibubapanya dan ibu saya ( ayah telah meniggal tahun 1994 akibat penyakit  kencing manis, lemah jantung dan darah tinggi). Perkahwinan  berlangsung dengan meriah dan diraikan ramai saudara mara dan sahabat handai. Majlisnya sederhana sahaja masak gotong royong melalui pertubuhan dikenali sebagai syarikat kenduri.
Selepas setahun perkahwinan kami telah berpindah ke rumah yang dibeli sendiri, zaman kegawatan ekonomi melanda di tahun 1997.   Rumah berkembar setingkat, comel dan sesuai bagi kami yang bermula dengan tiga beranak. Rumah kami asalnya bersempadan dengan tanah bendang. Kami berpindah di awal Muharram dengan kelengkapan rumah ala kadar saja janji bahagia. Rumah kami berdekatan masjid dan dekat dengan pasar . (oops saya terlepas pandang soal sekolah , anak sulong berumur 2 tahun cuma pada masa berkenaan  itu).
Seperkara yang menarik rumah saya pada awalnya bersebelahan dengan tanah bendang. Bayangkan ketika padi menghijau, angin bertiup sepoi-sepoi, bunyi air berkocak apabila katak atau ikan kah yang melompat ? . Kekadang suami saya menghulurkan joran  keluar pagar memancing ikan haruan , melepaskan nostalgia zaman kanak kanak mungkin..., saya tidak berjiran di sebelah kanan rumah, kalau bagi panduan lokasi kepada saudara atau teman yang akan berkunjung saya katakana rumah yang di hujuuung sekali ! Sekarang  tidak lagi.
Jiran saya sebuah keluarga berbangsa Cina, rumahnya jenis kembar 2 tingkat. Pokok ceri yang rending di hadapan rumah sudah ditebang. Tidak ada lagi burung kecil yang singgah dan berciutan. Bendang sudah digantikan dengan deretan rumah. Tidak ada lagi kehijauan, digantikan dengan bunyi air pancutan dari kolam buatan jiran sebelah...