Monday, December 26, 2011

ANAK

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Hari ini anak ketiga saya , Ahmad Aidil Ashraf genap 11 tahun mengikut kalendar masehi, dan telah genap 11 tahun sejak 29 Ramadan.

Dibandingkan dengan abang abangnya , tubuh Ahmad Aidil agak kecil dan lambat pertumbuhannya (lebih rendah).  Jika dilihat kepada penampilannya orang akan menyangka Ahmad Aidil berusia 9 atau 10 tahun. Sememangnya  jika hendak membeli pakaian saya akan bertanyakan saiz biasa bagi kanak kanak berusia sedemikian.

Ahmad Aidil kami raikan di restoran KFC di Jalan Stadium. Perancangan asal di Restoran Mama di Jalan Sultanah , tetapi restoran tersebut tutup , tidak beroperasi di malam tersebut. Saya ada mengambil foto Ahmad Aidil yang amat comel pada pandangan saya semestinya.

Doa saya Ahmad Aidil akan dipelihara Allah menjadi anak yang soleh , bijak dan beriman, Amin..
Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Thursday, December 1, 2011

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat.

Ahmad Naufal sudah pulih dari demam tetapi manjanya agak berlebihan. almaklum anak bongsu. Sepanjang tempoh demam dan kebelakangan ini dia amat rapat dengan abangnya Ahmad Aidil Asyraf yang berusia 11 tahun. Agak lucu melihatkan Ahmad Aidil yang pandai pula bersabar melayan kerenah adiknya. Dalam keadaan biasa Ahmad Aidil kuat merajuk dengan Ahmad Naufal . Saya hitung hitung sudah 4 bulan kak Tini pembantu rumah kami pulang ke Indonesia. Difahamkan tidak akan kembali dengan kami lagi atas alasan berkahwin. Setelah hampir 6 tahun tinggal dengan kami terasa juga ketiadaannya.

Bagaimanapun kebaikan daripada itu anak anak saya sudah pandai membantu kerja di rumah. Abang sulong Ahmad Naim membantu mencuci pinggan dan menyiram pokok . Ahmad Iqbal pula menyidai , mengangkat kain dan membuang sampah manakala Ahmad Aidil menemankan si bongsu bermain. Seperkara yang belum selesai adalah melipat kain. Sekali sekala saya mengupah pembantu harian selama 6 jam dan biasanya pembantu yang dihantar adalah wanita Kemboja.

Saya bertekad untuk bangun pada jam 5 pagi untuk menyediakan sarapan dan lauk pauk untuk makan tengahhari dan memastikan dapat solat dengan tenang tanpa kelam kabut. Di musim cuti sekolah ini kerja saya agak ringan kerana tidak perlu menghantar anak ke sekolah. Saya ada lebih masa 30 minit yang dihabiskan di atas jalan (hari persekolahan) . Saya siapkan bahan bahan untuk memasak sepert cili dan bawang kisar untuk bekalan seminggu yang disimpan dalam bekas plastik dan disimpan dalam peti ais. Bawang juga saya kupas untuk bekalan sekurang kurangnya seminggu.

Hari Jumaat yakni hujung minggu di Kedah saya menjadi orang yang paling sibuk seawal pagi. Saya pastikan akan ke pasar dengan Ahmad Iqbal kerapkalinya untuk membeli bekalan ikan , daging dan sayur sayuran. Ahmad Iqbal memang gemar menemankan saya kerana dapat menikmati nasi lemak kukus Aina di pasar besar. Hmm memang sedap dan ramai peminatnya. Kami kena pergi awal pagi dan kalau melewati jam 8 pagi jenuhlah berpusing pusing mencari parkir.

Pulangnya terkocoh kocohlah ibu ini membersihkan dan menyimpan bahan bahan yang dibeli, siap itu memasak pula dan membasuh. Saya pastikan makan tengahhari siap untuk santapan selewat lewatnya jam 12.00 tengahhari . Kesemua ahli keluarga kecuali saya dan sibongsu akan bersolat Jumaat di masjid berhampiran (Masjid Aman) . Dalam keluarga kami cuma saya seorang perempuan. Kalau Jumaat saya seperti 'bermaraton'. Bagaimanapun saya gembira dan puas . Hmm setelah hampir 15 tahun menjadi suri , saya dapat rasakan saya semakin matang. Hati saya kembang setiap kali anak anak memuji masakan saya.

Sekali sekala saya beli juga makanan luar, jujurnya ada hari saya sibuk , letih dan kadang kadang ingin ubah selera. Walau apapun juga, sepenat dan sesusah manapun asalkan setiap ahli keluarga menghargai dan bekerjasama saya gembira. Asal kami bahagia.