Showing posts with label HAMBA. Show all posts
Showing posts with label HAMBA. Show all posts

Friday, December 7, 2012

AKTIVITI JUMAAT

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Pejam celik pejam celik sudah masuk 7 hb. Disember 2012. Semakin hampir tahun baru menjelang. Semakin dekat kita menuju penghujung jalan ..di dunia nyata. Hari  ini Jumaat kami mendapat dua undangan. Kenduri  pada hari Jumaatni biasanya kenduri tahlil. ya, pada tengahhari sebelum solat Jumaat di Taman Mewah kenduri aqiqah manakala  kenduri solat Jumaat pula kenduri  tahlil berkhatan. Semoga majlis kenduri dipenuhi keberkatan dan dapat merapatkan ukhwah di antara jemaah.  Rezeki yang Allah berikan dikongsikan dengan menganjurkan kenduri. Alhamdulillah..

Pagi Jumaat pagi ini rumah saya meriah  sewal jam 5-00 pagi. Anak anak saya kecuali Naufal Arief bangun tanpa dikejutkan , terus pergi mandi, solat sunat dan bersiap untuk ke masjid. Alhamdulillah, buat kali pertama seisi rumah termasuk Bik Sabariah bersiap untuk solat Subuh berjemaah di masjid Aman.  Kami berjalan kaki sahaja, dekat pun. Naufal Arief memakai jubah putih  yang saya belikan untuk abangnya  Aidil Ashraf. Anak anak makin membesar. Saya semakin tua. Teringat saya kenangan  pada Disember, 2008 saya bersama suami dan jemaah lain di Maktab 83 berjalan seawal 2.00 pagi menuju ke masjidil Haram..Sehingga tarikh itu tiba aku mohon kesihatan dari Mu . Ya Allah , berkati kami , ampuni kami dan berikan kami keredhaanMu. Ya Allah , aku mohon kepadaMu kami dapat  bersama mengunjungi rumahMu di Mekah. 

Sementara saat itu Ya Allah kami bersyukur dapat berjemaah di rumahMu di Mesjid Aman. Latihan amali untuk kami menjadi tetamuMu.  Aku percaya di mana juga Allah adalah satu . Berkati kami ya Allah, rahmati kami ya Allah. Subhanallah , Subhanallah, Subhanallah.

Tuesday, December 4, 2012

SUDAH TIBA HARINYA


Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Sampai saja di rumah, saya disambut mesra oleh sikecil Naufal Arief. Dia berlari membuka pagar dan membuka pintu penumpang hadapan. "Mama, hari ni Naufal ikut abah sembahyang di masjid, katanya dengan ketawa Naufal pakai baju rayaa." sambungnya lagi. Wahh , anak mama dah sihat, pandai Alhamdulillah! balas saya. Magrib nanti nak ikut ke masjid juga katanya lagi.

Allah, Allah , sudah tiba harinya yang saya tunggu. Semua anak anak permata hatiku berjemaah di masjid. Ya Allah! permudahkan kami mendidik anak anak ini.  Tambahkan iman dan takwa kami. Berikanlah kami hidayahMu Ya Allah.  Semoga ketaatan anak anak kami berterusan sehingga mereka dewasa Ya Allah. Sungguh saya sangat bimbang dengan perkembangan semasa masalah sosial masyarakat sekeliling.

                                                     
                                              wajah Naufal semasa usia 3 tahun




                            Naufal foto raya 2012 Merdeka Raya

Dugaan hidup remaja zaman ini amat tinggi. Dengan pelbagai maklumat entah apa apa didatangkan terus ke rumah. Alhamdulillah sehingga sekarang anak anak saya selesa bergaul dengan kami orang tua mereka.  


Monday, October 15, 2012

REZEKI DARI ILAHI

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat.

Ketika memandu kereta comel hijau pucuk pisang saya yang saya panggil 'bibah' pulang dari kerja saya mendengar radio IKIM . Ustaz Pahrol Mohd Joei sedang keudara  . Antara yang dibicarakan adalah berkenaan rezeki.

Rezeki kata ustaz Pahrol yang menegaskan beliau bukan ustaz tetapi lebih senang dikenali sebagai daei menasihatkan bahawa 'rezeki'  seharusnya dilihat dari sudut yang luas. Ia tidak terhad kepada kemewahan dan kewangan sahaja.  Hatta berzikir kepada Allah dengan menyebut Subhanallah, Walhamdulillah, Wala Ilahaillallah juga  adalah rezeki yang diberikan Allah. Kita dipilih untuk mengingati Allah.. Subhanallah! AllahuAkbar.

Saya terkesan apabila ustaz Pahrol mengibaratkan  manusia  ini seperti kelawar yang silau pandangannya disiang hari dan gagal melihat benda benda sekeliling. Saya bertenet malamnya menemui blog beliau - Genta Rasa. Masyaallah lulusan sains pemakanan asalnya. Rezeki beliau Allah angkat menjadi Daei.   

Manusia insan ini pula seperti gagal  menilai rezeki dan nikmat yang Allah berikan. Kesihatan pancaindera ie mata yang mampu melihat, telinga yang mendengar, kaki tangan yang mampu bergerak dan fikiran yang sihat dan anak anak. Kita akan hanya menyedari nikmat rezeki yang Allah bagi setelah kehilangannya. Apabila ditimpa sakit contohnya bila mata menjadi rabun (pengalaman  orang terdekat saya).  Seperkara yang saya ingat selanjutnya Allah mencabar hambanya dengan surah Ar Rahman. "Nikmat siapakah yang engkau dustakan" soalan yang dikemukakan kepada semua manusia.. Ya Allah kerdilnya hambaMu..mengalir air mata saya.

Subhanallah , saya amat mengkagumi daei ini yang bijak memberikan motivasi, mampu melahirkan ucapan membina . 

Kadang kadang saya juga terleka, perlu diingatkan oleh orang lain walaupun perkara yang dibincangkan adalah perkara biasa biasa yang berlaku sekeliling kita.

Pengajarannya jangan abaikan majlis ilmu. Rezeki Allah akan bertambah bagi orang yang bertaqwa dan beribadat kerana Allah.
Subhanallah.

Monday, October 8, 2012

BATUK SELSEMA LAGI

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Alhamdulillah kesihatan saya baik dalam peliharaanNya. Memang kalut sikit asyik berulang ke hospital ie. klinik pakar mata untuk susulan rawatan abah, ke farmasi untuk bekalan ubat yang kehabisan ( saya lupa tarikh temujanji dengan doktor) . Sudahnya terpaksa bawa abah anak anak aka suami saya untuk jumpa doktor khusus untuk mendapatkan bekalan ubat.

Oooh! banyaklah belanjayang dikeluarkan gomen untuk pastikan rakyatnya mendapat rawatan perubatan terbaik. Alhamdulillah ! negara kita masih mampu memperuntukkan rawatan percuma..gratis. Saya difahamkan ubat insulin yang biasa dibekalkan telah tamat tendernya. Sudahnya pen insulin nama Lily juga turut digantikan dengan set baru..namanya loh sudah lupa pula. Yang pasti insulin brand baru dengan set pennya yang baru juga. Bayangkan berapa orang pesakit kencing manis yang memerlukan insulin....banyaknya belanja yang perlu dikeluarkan kerajaan.
Pengajarannya jaga kesihatan..

                       Foto Ahmad Aidil Ashraf dan Ahmad Naufal  
    
Belum selesai dengan abah , abang ke tiga pula demam , batuk. Berulang lagi ke KMC ntuk rawatan neubolizer..lapang sikit  adiknya pula si Naufal Arief..batuk sampai hilang suara.. kekadang sampai merah matanya. Sakit dada Naufal katanya..Alhamdulillah mama masih sihat. Alhamdulillah suami dan anak anak mama masih mampu dirawat..Syukur, sabar dan solat Insyaallah semuanya akan selamat. Yakin pada Yang Satu -Allah



Wednesday, April 11, 2012

SOLAT ANAKKU

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat

Anak anak ku, permata hati dengarkan pesan mama ini yang diterima dan disampaikan kepada kamu semua sebagai amanah dari Allah dan Rasul.

Setelah kamu dapat membezakan apa yang baik dan buruk, kenal yang mana tangan kanan dan kiri hendaklah mendirikan sembahyang aka solat.  Semua kamu telah dididik untuk mendirikan solat sejak berusia 5 tahun. Anak anak ku ingat lah yang kita mesti solat sebab kita ini hamba. Solat ini perintah dari Allah dan Rasul bukan dari mama dan abah.

"Tidak dijadikan manusia di bumi ini melainkan untuk beribadat kepada Allah"

Semalam ketika mama sampai ke rumah , mama lihat Ahmad Naufal Arief sedang solat dengan diperhatikan abah. Mama dengar Ahmad Naufal membaca bacaan dalam rokok' dengan suara yang kuat , waah! sudah pandai sibongsuku.

Rupanya Naufal solat selepas didesak dan dipujuk abah dan dengan hukuman ringan juga. Agak sukar menangani sikecil seorang ini. Berbeza dengan abang abangnya. Tidak bantah bila diingatkan bersolat yang kebiasaannya berjamaah.

Selesai sembahyang saya panggil Ahmad Naufal. Dia menangis sedih sebab dapat hukuman dari abah. Hidungnya yang kecil mancung jadi merah kembang sebab menangis. Matanya yang bulat bengkak memerah.. Kasihan ..tapi lebih baik bertegas sekarang untuk kebaikan dikemudian hari.  Walaupun kecil, saya rasa anak ini sudah boleh memahami ..mungkin sedikit tapi ada kesan atau signifikan.

Saya panggil Ahmad Naufal dan tanyakan maukah mendengar mama bercerita? dia menyembamkan muka tapi mengangguk..

Cerita kisah Rasulullah dan sahabat bagindan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thsur kerana dikejar oleh orang quraish yang diupah untuk menangkap mereka.

Anakku, siapa  yang memberi ilham kepada Baginda bersembunyi di gua tersebut. Apa kata Rasulullah saw  ketika menenangkan Abu Bakar yang sangat cemas dan takut.  

" Janganlah kamu berasa takut kerana Allah akan sentiasa bersama kita".

Tidak inginkah kamu bersama Allah anakku sehingga kamu bila kamu tidak solat?

Rasulullah saw dan para sahabat telah banyak berjuang dan berkorban untuk meninggalkan Islam kepada kita. ingat bagaimana sukarnya Bilal bin Rabah yang disiksa kerana beribadat kepada Allah. Siksaan yang berat ditengah padang pasir di bawah terik matahari.  Panas , pedih dan dahaga yang tidak terhingga..

Berdoalah anak anakku semoga mama dan abah dapat membawa kalian mengunjungi bumi barakah tempat kelahiran dan perjuangan Rasullullah saw dan para sahabat. Buminya yang berpasir , gersang diketika itu tidak ada kenderaan melainkan unta dan kuda.. betapa jauhnya Madinah dari Kota Mekah.

Gambarkan anak anakku bagaimana perjalanan Baginda dan para sahabat semasa berhijrah demi Islam.
Kasihkah kamu kepada Rasullulllah saw wahai anak anakku.  Mari tunjukkan kasih kita kepada Allah dan Rasul dengan cara yang paling mudah anak anakku.. bersolat

Ayuh anak anakku , siapkan diri kamu, ajak teman temanmu beribadat, solat pada waktunya.. dengan ikhlas selalu.
Ingat , pesan Rasulullah sesungguhnya solat lima waktu itu membersihkan diri dari dosa. Ibarat sungai di hadapan rumah jika kamu mandi dan bersihkan diri lima kali sehari, bagaimana keadaan dirimu akan bersih suci..

Setiap solat anak anakku kita berikrar dan berjanji :

"..Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku hanya kerana Allah Taala."

Semoga kita bersemua ditemukan di akhirat kelak , mendapat syafaat Raulullah saw. Mari kita dapatkan tiket ke syurga dengan bersolat. Kamu  mampu anak anakku , berusahalah mendapat kunci ke syurga dengan bersolat. bila sudah pandai, tambatkan hatimu di mesjid maksudnya bersolat jemaah di masjid.

Anak anakku, permata hatiku, kamulah sahaja yang dapat meyambung dan mengirimkan pahala ke mama dan abah sekiranya kami sudah kembali mengadap Ilahi..

                            foto Ahmad Naim dan Ahmad Aidi sebelum
                                                 ke masjid untuk solat Jumaat.

Ya Allah! tunjukkan kami jalan, berikan kami kelapangan mendidik anak anak kami mengikut perintahMu seperti yang diajarkan Rasulullah saw..AllahuAkbar










Sunday, October 30, 2011

Duitkah Yang Dicari? | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat
Semasa blogwalking ke  i luv islam, terbaca  artikel ini.
Satu pengalaman yang perlu dikongsikan dan dijadikan renungan.  Perkara baik dijadikan iktibar, yang buruk dijadikan sempadan, jangan diamalkan. Tujuan hidup manusia sebagai hamba adalah tidak lain dari beribadat kepada Allah.  Rezeki yang diusahakan hanyalah sekadar bekalan untuk keperluan kita meneruskan perjalanan ke kehidupan abadi . Semua manusia mempunyai destinasi yang sama bukan pilihan sendiri. Destinasi yang tidak boleh diubah iaitu negeri akhirat.
Ya Allah ! tambahkan imanku dan kau sudahi kehidupanku dengan pengakhiran yang baik. Tetapkan imanku ya Allah.
Ingin tahu sila klik di sini.
Duitkah Yang Dicari? iluvislam.com + discover the beauty of islam

Sunday, April 17, 2011

Hari ini saya ingin berkongsi satu hadis sahih yang disampaikan oleh ustaz dalam kelas Tafakuh yang saya hadiri pada hari Sabtu lepas. Saya percaya hadis ini jika dihayati dan dijadikan panduan akan membawa menafaat kepada kita sebagai hamba.

Bahawa Rasulullah Saw bersabda antara maksudnya bahawa Allah Subhanahu Wataala selalu berseru kepada hambanya:

" Wahai hambaKu, engkau tidak insaf denganKu,
  Aku ingat kepadamu, tapi kau lupa kepadaKu,
  Aku seru kau kepadaKu, Engkau pergi kepada yang lain
  daripadaKu,
  Aku hindarkan kamu daripada segala bala, sedangkan kamu masih
  asyik melakukan dosa.
  Bagaimana kamu akan menjawab kepadaKu esok apabila kamu
  dipanggil menghadapKu?"

Jadi marilah sama sama kita renungkan , muhasabah diri adakah kita hari ini telah menjalankan tanggjawab sebagai hamba yang taat. Apakah perlakuan kita, pakaian kita, bicara kita dan keputusan kita berlandaskan niat sebagai hamba Allah yang taat. Adakah kita menurut dengan patuh akan ketetapan menurut syariat. Kemana kiblat kita (bukan ketika solat) tetapi panduan hidup, siapa ikutan kita.

Apa usaha kita untuk memantapkan amalan kita seharian. Adakah ilmu agama dan amalan kita itu adalah seperti mana kelmarin, tahun tahun yang lalu. Saya percaya majlis ilmu adalah satu perkara yang perlu dihadiri bagi menambahkan ilmu dan penghayatan dalam amalan bagi mendekatkan diri dengan Allah. Permata hatiku , mama sentiasa berdoa kita sama sama beroleh ilmu yang bermenafaat di dunia dan akhirat. Ya Allah tambahkan ilmu kami, terangkan hati kami dan tambahkan pemahaman kami. Ya Allah! ikhlaskan hati kami! Amin..