Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat
Hari Jumaat, 6 hb. Januari 2012 menjadi hari yang agak suram bagi kami sekeluarga. Pada awalnya kami semua begitu teruja dan tidak sabar menunggukan keputusan sama ada Ahmad Iqbal berjaya diterima masuk ke Tingkatan Satu program Ulul Albab MRSM Kepala Batas. Saya suami isteri sejak semalam berdebar debar menunggu siang. Sesekali kami yakin anak kedua kami berjaya, dalam pada itu juga bimbang dia gagal dalam permohonan tersebut. Namun kami hanya mampu berdoa Allah akan berikan yang terbaik untuk permata hati kami.
Pada pagi Jumaat selepas pulang dari pasar, dalam kesibukan saya di dapur, saya menerima panggilan telefon dari teman saya Puan H . Berita gembira dari beliau anaknya telah berjaya diterima masuk ke Ulul Albab MRSM Kepala Batas dan berita ini diterima melalui SMS. Tidak berlengah lagi dengan debaran kencang saya bersama Iqbal menyemak melalui internet . Terlalu lambat menunggu saya terus membuat panggilan ke sekolah berkenaan. Setelah beberapa kali mencuba, saya mendapat jawapan yang mendukacitakan. Sedihnya hati, Iqbal juga sedih sehingga menangis. Usai solat Jumaat Ahmad Iqbal kembali positif.
"Okey Mama, petang nanti kita keluar membeli persiapan untuk pendaftaran di SBP Intergrasi Kubang Pasu. Memang Ahmad Iqbal telah mendapat tawaran ke SBP terlebih dahulu , dimaklumkan melalui SMS pada lebihkurang 14 hb. Disember, 2011. Mungkinkah di atas sebab tersebut Ahmad Iqbal tidak diterima ke program Ulul Albab MRSM.
Kami sekeluarga bertolak untuk pendaftaran pada jam lebihkurang 1.00 tengahhari Ahad, 8hb. Januari.
Waktu pagi saya bermula 6.50 pagi saya bermula dengan menghantar Ahmad Aidil ke Sekolah Kebangsaan Peremba, Ahmad Naufal ke SRIDA dan suami yang ditemani Ahmad Iqbal ke Hospital Sultanah Bahiyah kerana temujanji dengan pakar mata. Selepas itu saya pula langsung ke mahkamah untuk menghadiri satu kes sivil yang ditetapkan pada tarikh tersebut. Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Majlis Peguam tidak dapat saya hadiri. Ada hari yang penuh dengan aktiviti.
Jam 11.30 pagi menjemput suami dan Iqbal , langsung menjemput Ahmad Naufal , Ahmad Naim dan Ahmad Aidil pulang lebih awal untuk menghantar Ahmad Iqbal ke Sekolah Menengah Intergrasi. Sebelum itu singgah di kedai gambar, kedai jahit untuk mengambil seluar sekolah bewarna hijau zaitun yang telah dipotong dan dijahit kakinya.
Sempat juga saya dan Ahmad Iqbal bertemu dengan guru Sekolah Peremba iaitu Cik gu Nariza, Guru Besarnya Cik gu Khosim dan guru guru lain dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Ucapan tahniah diucapkan kepada Iqbal Namun hati saya tetap ada gundah mengenang hajat yang tidak sampai menjadikan permata hati saya warga ULUL ALBAB.
Kami sampai ke Sekolah Menengah Intergrasi lebihkurang pukul 2.30 petang. Sambutan mesra diterima dari teacher Hajar dan Ustazah Marziyah. Seorang senior bernama Emir ditugaskan menunjukkan bilik asrama kepada Ahmad Iqbal. Makanan tengahhari juga telah disimpan untuk Iqbal. Sebelum itu auntie di sebelah rumah telah memberikan sekotak limau mandarin . Agaknya dia mahu Iqbal dapat merasakan pemberiannya kerana pagi tadi telah saya maklumkan Iqbal akan ke asrama waktu tengahhari.
Kami solat di surau sekolah yang besar dan selesa. Kami sekeluarga makan bersama di kantin sekolah. Kami juga ikut ke kedai Koperasi sekolah untuk mendapatkan keperluan lain. Iqbal didaftarkan sebagai ahli rumah Kuning yang uga dikenali dengan nama rumah Saidina Ali . Saya doakan Iqbal menjadi seorang yang soleh, tabah dan berilmu seperti Saidina Ali.
Saat berpisah ketika mahu pulang , saya mula merasakan kesedihan. Iqbal yang banyak membantu saya di dapur dan menemankan saya ke pasar. Bagaimanapun abangnya Ahmad Naim memujuk, " mungkin tidak sama dengan layanan Iqbal tetapi Naim akan buat yang terbaik.
Ya Allah, aku bersyukur kepadaMu memberikan ku anak anak yang sihat, cerdik dan baik. Ya Allah rahmati kami sekeluarga, lindungi aku, anak anakku dan suamiku. Sesungguhnya Engkau adalah sebaik baik Penjaga. Tabahkan hati kami sekeluarga. Semuga hijrah Iqbal dan perpisahan ini mendatangkan kebaikan kepada kami sekeluarga..Amin.
No comments:
Post a Comment