Rumahtangga itu lubuk pahala, anak anak adalah amanah yang menjadi saham akhirat.
Alhamdulillah Allah lanjutkan usia kami sekeluarga sehingga Jumaat ini dengan penuh kesihatan. Aktiviti Jumaat kami sekeluarga bermula sejak malam Khamis lagi. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi memberikan peluang kepada kami menghadirkan diri ke Masjid untuk solat Magrib dan Isyak dan juga majlis bacaan Yassin yang diketuai Imam Masjid Aman Tn Haji Jalal.
Mengimbas kembali kami berpindah ke kediaman sekarang di Taman Anggerik lebihkurang 14 tahun yang lalu. Saya sebenarnya membeli unit kediaman sekarang setelah pembeli asal membatalkan pembeliannya pada tahun 1998 kerana masalah ekonomi negara yang merudum. Bank hanya meluluskan pembiayaan setakat 65% daripada harga jual beli. Saya sebenarnya membuat keputusan membeli rumah ini kerana ia berhampiran Masjid. Hakikatnya saya tidak berpeluang bersolat di Masjid sehinggalah anak sulong saya berusia 10 tahun. Pembetulan bukan tak berpeluang kerana peluang ada tetapi lebih kepada memilih solat di rumah kerana anak anak yang kecil. Alasan klishe untuk wanita kan.
Alhamdulillah tahun ini kami sekeluarga mula menghadirkan diri ke masjid. Sebelum ini cuma Abah kepada anak anak dan abang sulung dan anak kedua sahaja yang berjemaah di masjid. Tahun 2013 kami mengukir sejarah apabila sekeluarga bertamu ke rumah Allah yang terdekat Masjid Aman. Perasaan makin ceria kerana saya telah mengenali kebanyakan jemaah wanita .
Pada Ramadhan yang lepas kami juga berbuka puasa dan solat Maghrib, Isyak dan terawih di Masjid. Kenapa baru tahun ni? Ya, anak bongsu saya sudah 8 tahun dan sudah dikhatankan. Ahmad Naufal Arief kini sudah pandai bersolat dan menjaga adab di Masjid. Paling menarik sekali di malam Jumaat dia dengan suara manja yang comeiii sangat akan mengingatkan saya mengejutkannya untuk solat Subuh pagi Jumaat, sujud Sajadah.
Abah kepada anak anak sering mengingatkan saya dan anak anak meneruskan semangat Ramadhan. Permudahkan kami Ya Allah.Teringat ceramah dan kata nasihat Ustaz muda yang popular Don Danial bahawa bersolat jemaah di Masjid adalah penyatuan. Dibuktikan dengan kisah Rasulullah Saw mula sekali ketika sampai ke Madinah telah mendirikan Masjid Quba'.
Saya teringat kata kata Prof Mohd Kamil dalam satu ceramah yang disiarkan di TV9 bertanya di manakah jemaah Haji yang pernah ke Masjidil Haram di Mekah, kenapa tidak solat di masjid. Pengalaman beliau di Masjid di banyak tempat dari Sudan sehingga ke Pulau Pinang dan ke Alor Setar, Kedah ketika solat Subuh jemaah hanya satu atau dua saf sahaja.
Saya ingatkan anak anak agar biasakan hadir awal ke Masjid untuk mendisiplinkan diri sekiranya kita dijemput Alah bertamu ke Masjidil Haram kita telah bersedia mental dan fizikal. Sehingga kita dijemput kita pegilah ke rumah Allah paling dekat . Bukankah Allah melihat dan dekat dengan kita walaupun di mana sahaja kita berada. Istiqomah anak anak Permata hatiku..
No comments:
Post a Comment