Mendapat sesuatu secara percuma atau pemberian hadiah sesungguhnya amat menggembirakan. Apa lagi apabila hadiah tersebut diterima daripada orang yang rapat dengan kita.
Saya telah diuji dengan ujian getir. Permata hati saya iaitu suami saya disahkan mendapat sakit buah pinggang dan memerlukan rawatan dialisis . Suami saya ketika masih sihat bekerja sendiri, dan apabila kesihatannya makin teruk akibat kencing manis, tidak berupaya memandu kenderaan sendiri kerana pandangan mata yang kabur. Kehidupan saya anak beranak memang bercelaru dan tidak dinafikan saya amat tertekan. Semua aktiviti kami seharian berubah . Saya disamping kerja pejabat , terpaksa melakukan banyak tugas lain . Menghantar dan mengambil anak sekolah, membeli segala keperluan harian dan keperluan sekolah anak anak dan menghantar dan menemankan suami apabila temujanji dengan doktor.
Semasa dimaklumkan tentang komplikasi yang dialami suami dan keperluan rawatan dialisis 3 kali seminggu yang menelann kos RM150.00 setiap kali rawatan, saya merasa seperti dihempap benda berat di kepala. Saya sebak , namun cuba menyembunyikannya dari suami. Memang saya amat tertekan. Kalau saya merasa begitu, bagaimana pula dia yang menanggung sakitnya.
Ya Allah berikan aku, suamiku dan anak anakku kesabaran dan ketabahan. Suami saya di peringkat awalnya bermula Disember 2008 kerap demam. Boleh dikatakan hampir setiap bulan terpaksa dimasukkan ke wad 4D Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Malahan dalam Bulan Mei 2009 2 kali dia ditahan di wad. Pernah mengalami kurang darah (HB turun sehingga 3.8) menyebabkannya tidak sedar diri.
Kadang kadang saya merasakan seperti penderitaan saya tidak dipedulikan sesiapa sama ada kawan atau saudara. Sekali dua , mungkin ada yang bertanya dan datang melawat, tapi kalau seringkali entahlah...
Seperkara yang saya akui , saya sukar menceritakan dan berkongsi rasa dengan orang lain kecuali rakan kongsi saya dan seorang sahabat sealiran yang juga kawan sekolah saya.
Ada masa kawan kawan mengajak makan tengahhari bersama meraikan hari ulangtahun, anniversari dan apa saya keraian lain. Seingat saya tidak ada yang dapat dipenuhi kerana terikat dengan jadual harian menjemput anak dari sekolah. Sehingga hari ulangtahun saya sendiri tidak terasa hati lagi untuk diraikan. Di kala itu terasa kegembiraan bukan milik saya lagi . Hampir setiap hari itu mendung di hati. Saya merasa bimbang yang teramat sangat, bimbang kehilangan , bimbang berkenaan perbelanjaan dan pekerjaan.
Pesan sahabat saya Nazliyah yang layak digelar ustazah, solat dan sabar akan menjadi teman, menguatkan semangat. Mengadulah kepada Allah Subahanahu Wata'ala. Dia akan mendengar.
" Sesungguhnya Allah amat dekat dengan kita , malah lebih dekat dari urat leher kita"
Pada hari lahir saya dengan tidak disangka sangka , kawan kawan saya telah mengaturkan majlis di rumah saya . Saya cuma menjadi tuan rumah, segala hidangan dan juadah dibawa mereka. Kedatangan mereka amat menggembirakan saya dan suami. Sesungguhnya saya amat terharu melihat wajah suami saya yang ceria menyambut dan berbual dengan mereka. Mungkin dia sunyi kerana terpaksa berehat di rumah sendirian ketika saya ke pejabat dan anak anak ke sekolah.
Rupa rupanya kawan kawan saya memang prihatin dan ingin membantu. Mungkin disebabkan memahami sikap saya yang tidak boleh berkongsi kisah duka , mereka hanya berdiam. Masalah saya difahami dan mereka datang dengan sumbangan lebih RM 5,000-00 tanpa saya minta. Ya Allah yang Maha Mendengar..
Pesan kawan baik saya Omayah , gunakan wang tersebut untuk rawatan suami, bersabarlah sementara ada usaha lain.
Sesungguhnya hadiah tidak ternilai bukanlah wang ringgit , tapi keikhlasan persahabatan. Shukur Ya Allah, Engkau berikan aku sahabat dan anak anak yang baik .
Terkadang saya tersilap menilaikan kawan. Saya sangka mereka berdiam kerana tidak mahu terlibat dengan saya yang dihimpit kesusahan.
Sekarang ini suami saya masih mendapat rawatan dialisis. Bagaimanapun isu kos rawatan telah diselesaikan oleh SOCSO. Kesihatan suami saya juga semakin stabil. Sudah hampir 8 bulan beliau bebas dari menjadi 'tahanan' wad. Saya juga rasanya sudah dapat menerima keadaan . Kami sudah biasa dengan kekurangan yang kami tanggung. Saya bersyukur dikurniakan suami yang tabah dan anak anak yang penyayang . Tidak lupa kawan kawan yang bersedia memberikan bantuan
Syukur Ya Allah. Kepada kawan kawan dan anak anak Jazakallah Khairan Kasira .
No comments:
Post a Comment